Perayaan gawai-gawai sebenar sekitar Gawai Dayak Hari_Gawai

Beberapa hari sebelum atau selepas Gawai Dayak pada 31hb Mei dan 1hb Jun, ada beberapa jenis gawai sebenar bagi komuniti Dayak yang selalunya diraikan kerana bekalan beras yang banyak selepas musim menuai padi.

Gawai Bersimpan Padi akan diraikan untuk upacara menyimpan sejumlah padi yang banyak di atas siling (sadau) rumah sebagai tempat kediaman roh padi dan mengelakkan kecurian atau makluk perosak. Gawai ini diadakan apabila siap menggugurkan bijian padi daripada tangkainya, mengipas untuk mengasingkan biji padi berisi daripada hampanya dan mengeringkan biji padi bernas untuk disimpan dalam jangka masa yang panjang. Akhir sekali, padi daripada huma atau sawah yang jauh daripada rumah akan diangkut ke rumah untuk keselamatan padi itu.

Sebelum memulakan musim penanaman padi yang baru, Gawai Batu [8] boleh diraikan untuk mengasah tajam peralatan logam pertanian seperti parang dan beliong atau kapak sekarang ini.

Gawai Lelabi (Majlis Perkahwinan atau Melah Pinang [9] dalam bahasa Iban) selalunya diadakan pada musim ini kerana ramai yang pulang ke kampung halaman sewaktu cuti Gawai Dayak. Bagi kaum Iban, adat "nguai" iaitu samaada pengantin perempuan mengikuti pengantin lelaki tinggal di rumahnya atau sebaliknya akan diputuskan dahulu sebelum berlangsungnya perkahwinan. Semasa maljis perkahwinan, pasangan mempelai itu akan selalunya memakai pakaian tradisi dan duduk di pelamin tawak supaya ahli-ahli keluarga dari kedua-dua belah boleh mengucapkan selamat pengantin baru kepada raja dan ratu sehari itu. Doa perkahwinan akan dilakukan oleh seseorang yang dihormati seperti ketua rumah sambil memegang dan menghayunkan seekor ayam di atas kepala mereka. Dewa yang diminta untuk memberkati perkahwinan mereka ialah Selampandai sebagai dewa pembuatan supaya perkahwinan itu berkekalan hingga ke anak cucu dan mereka melahirkan ramai anak sebagai waris.

Antara gawai-gawai lain yang boleh didirikan selepas musim menuai padi bila ada banyak beras ialah Gawai Pangkong Tiang[10] untuk memohon restu keselamatan, kesihatan dan rezeki selepas berpindah ke rumah baru, Gawai Tuah untuk mencari dan memasukkan nasib, Gawai Tempayan untuk memasukkan tempayan tembikar yang baru dipeolehi[11], Gawai Antu untuk meraikan roh-roh orang yang telah meninggal[12], Gawai Kalingkang, Gawai Burung untuk memberi makan burung-burung bisa mengikuti kepercayaan asal dan Gawai Kenyalang untuk menaikkan patung burung enggang di atas tiang yang tinggi sebagai tanda simbolik memohon petolongannya menjemput dewa kegagahan dan menyerang musuh[13]. Gawai Mimpi juga boleh diadakan pada masa ini untuk bersyukur atas mimpi yang baik atau menawar mimpi yang buruk.

Ada juga yang mengambil peluang ini untuk mengadakan Gawai Sakit[14] selepas usaha penyembuhan lain seperti "begama" dan "belian" gagal mengubati si pesakit. Dua lagi upacara penyembuhan ajaib yang agak besar ialah "besugi sakit" dan "berenong sakit". Si pesakit boleh juga pergi "nampok" atau bertapa untuk mencari penyembuhan ajaib.

Di samping itu, ada yang mendirikan Gawai Betambah Bulu untuk membuat sehelai baju berbulu yang boleh dipakai bila-bila terasa tidak sedap tubuh badan dan Gawai Menangga Langit untuk memohon pengampunan jika telah disuruh dalam mimpi untuk melakukan sesuatu yang tidak boleh dilakukan kerana sebab-sebab tertentu.

Jika tidak meraikan sesuatu gawai sebenar, seseorang Dayak akan meraikan Gawai Dayak pada umumnya. Jadi, Gawai Dayak adalah musim perayaan bagi pelbagai jenis pesta tradisi dan sosial. Gawai-gawai sebenar ini akan menjemput para tetamu daripada kawasan sekitar.

Setiap kaum Dayak mempunyai pesta-pesta tradisi tersendiri tetapi mereka semuanya merayakan pesta menuai. Kaum-kaum Dayak di Kalimantan juga meraikan beberapa pesta-pesta tradisi pada sekitar musim menuai ini. Musim menuai berlaku pada jangka waktu yang lebih kurang sama kerana musim permulaan penanaman bergantung kepada faktor geografi iaitu kedudukan Bintang Banyak dan Bintang Tiga[15] yang boleh dilihat oleh semua manusia di langit pada waktu malam.